Monday, June 7, 2010

FOTO HARI GURU 2010


Duduk dari kiri: Asmizul, Noraliza, Aisyah, Sarifah, Sahrom(Boss), Nazeri, Hosni, Mustari dan Azua.
Tengah: Roslah, Fazlezaa, Halimatun, Rodziah, Hashimah, Masayu, Maria, Rozita, Che Gayah, Zubaidah dan Hafiezah.
Belakang: Norliah, Zulhisham, Fazly, Hakim, Malik, Zalinor, Hazmil, Aluwi, Azizah dan Munirah.
Tiada : Azman dan Fadzly Surianie

Sunday, May 23, 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Pada 21 Mei 2010, bertempat di dewan utama SK Sungai Lui, telah berlansungnya Sambutan Hari Guru. Tepat jam 8:00 pagi, semua murid-murud dan guru-guru telah berkumpul di dalam dewan dengan wajah yang berseri-seri. Cuaca pada pagi tersebut amat baik dan cerah. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Fazly B Zakaria dan di aminkan oleh semua murid-murid dan guru-guru. Ketua murid pula mengisi acara majlis dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru. "Guru umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain". Itulah kata-kata peransang yang meledakkan lagi semangat guru-guru untuk lebih gigih berusaha mendidik anak bangsa. Insya-Allah. Majlis diteruskan dengan persembahan murid, penyampaian hadiah, sesi fotografi, permainan sukaneka dan jamuan. Jasa guru memang tidak ternilai harganya. Kepada semua insan yang bergelar 'guru',

'TERIMA KASIH CIKGU'


Guru-guru dan kakitangan SK Sungai Lui bagi tahun 2010

Murid-murid turut sama menjayakan sambutan Hari Guru

Bacaan ikrar oleh guru-guru SK Sungai Lui

Dari kiri: Tn. Hj. Nazeri (GPK KO), Tn. Hj. Md. Hosni (GPK HEM), En. Muhammad Jamal (YDP PIBG), En. Sahrom (GB) dan Hjh. Sharifah Hamidah (GPK Kurikulum)

Guru-guru menyanyikan lagu Lagu Negaraku, Negeri Selangor, Guru Malaysia dan Guru Pembina Negara Bangsa.

Saturday, May 15, 2010

HARI GURU


Tarikh keramat 16 MEI saban tahun tidak akan luput dari ingatan semua. Saban tahun kita menyambut tarikh tersebut dengan pelbagai cara bagi menghargai jasa golongan yang pernah mendidik.
Untuk semua guru dan rakan-rakan, hayati sajak ini;

GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG,1979.


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,

melimpahkan hujan pada musim gersang,

menyegarkan benih ilmu,

berbuah hikmah;

ia renjis embun pada tanah bakat,

suara ihsan ketika manusia kalah,

sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,

ketika sejarah dalam bilik darjah,

senyum penyembuh bagi wabak sengsara,

ia - sungai rangsang sentiasa tenang,

menghantar bahtera ke segara dharma,

memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,

mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,

menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,

ia mengemudi biduk, melepaskannya, atas lambungan laut,

merangsangkan manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,

menghidupkan batin yang bersih di daerah dunia cemar kasih,

dan pada ketika tak tersangkakan,

walau diambilnya kemball semua buku,

sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,

penjunjung budi, manusia yang takwa,

obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

Ya Allah, ampunkan dosa guru-guruku baik guru yang masih hidup dan yang telah meninggalkan kita, Ampunkan dosanya yang lalu, kini dan akan datang. Tempatkan mereka di kalangan orang soleh. Amin.......

Monday, April 26, 2010

PEMINJAM KE-700

Kempen ke Pusat Sumber kian meningkat di kalangan pelajar SKSL. Buktinya peminjam buku ke 700 ialah adik Sarah Hanis bin Supirman murid Tahun 1 Cekal. Tuan Guru Besar SKSL ( En. Sahrom ) telah menyampaikan hadiah misteri kepada Adik Sarah Hanis. Seterusnya hadiah misteri menunggu peminjam ke 1500.

Sunday, April 25, 2010

KEJ. S/TAKRAW MSSDHL 2010

19-21 April bertempat di Sk. Bandar Seri Putra telah berlangsung Kejohanan Sepak Takraw MSSDHL 2010. Kejohanan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu 12 tahun, 15 tahun dan 18 tahun ke bawah.
SK. Sungai Lui telah menghantar 4 regu yang terdiri dari murid tahun 4, 5 dan 6. Dalam kategori tersebut regu SKSL hanya mara ke peringkat suku akhir sahaja kalah kepada pasukan yang menjadi johan iaitu SK Jln Empat. Naib johan SK Lembah Jaya dan ke-3 bersama SK. Sungai Ramal Dalam bersama SK. TAAM. Tahniah kepada yang berjaya.
Bagi kategori 15 tahun ke bawah pula dimenangi oleh SMK Jln Reko, SMK Tmn Jasmin, SMK Abdul Jalil dan SMK Cheras Perdana.
Kategori 18 tahun dan ke bawah dikuasai oleh SMK Taman Jasmin 2, SMK Khir Johari, SMK Cheras Jaya dan SMK Teknik.
Kejohanan Sepak Takraw MSS Selangor akan berlangsung pada 3 hingga 7 Mei 2010 di Daerah Gombak. Selamat berjuang....

Sunday, April 18, 2010

KEJ. B/SEPAK MSSDHL 2010

15 April, di Padang SKSL telah berlangsungnya kejohanan bola sepak MSSDHL. Penganjurnya ialah SK Cheras Jaya, Balakong. Namun penganjur telah memilih padang SKSL untuk diadakan kejohanan tahunan tersebut.
Kejohanan ini telah disertai oleh empat zon dalam daerah Hulu Langat iaitu Zon Cheras selaku tuan rumah, Zon Ampang, Zon Kajang dan Zon Semenyih. Tuan rumah peringkat zon telah dipertanggungjawab untuk mengurus pasukan zon dalam kejohanan ini. Edisi kali ini, SKSL telah diamanahkan untuk mengurus dan membawa pasukan Zon Cheras ke kejohanan tahunan ini.
Kejohanan ini diadakan secara liga kumpulan. Juara liga adalah pemenangnya. Setiap pasukan akan bermain sebanyak 3 kali dalam liga ini. Perlawanan pertama Zon Cheras menewaskan Zon Kajang 3-0. Perlawanan ke-2 Zon Cheras ialah menentang Zon Ampang dan kejayaan memihak kepada Zon Cheras dengan 2-1, manakala perlawanan terakhir yang menobatkan Zon Cheras sebagai juara ialah menentang Zon Semenyih dengan kemenangan 3-0. Kemenangan ketiga menyaksikan Zon Cheras mendapat mata maksimun tanpa kalah. Naib juara pula Zon Ampang dan diikuti oleh Zon Semenyih serta Zon Kajang.
Tahniah diucapkan kepada pegawai-pegawai Zon Cheras yang terlibat dengan komitmen yang tinggi dalam mencapai kejuaraan pada tahun 2010. Begitu juga diucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada pemain yang mewakili Zon Cheras. Tahniah dan Syabas.

Saturday, April 17, 2010

TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR

Unit Bimbingan Kaunseling dengan kerjasama guru tahun 6 telah mengadakan bengkel atau teknik menjawab soalan UPSR secara dalaman. Guru mata pelajaran telah memberi teknik menjawab kepada murid tahun 6. Guru tersebut ialah En. Azman bin Ahmad Sapuan, Pn. Hasimah binti Hasim, Pn. Noraliza bt Naharudin dan En. Zalinor bin Zainuddin serta murid di beri kaunseling oleh Guru Kaunseling SKSL iaitu En. Abd Malik bin Nayan.