Saturday, May 15, 2010

HARI GURU


Tarikh keramat 16 MEI saban tahun tidak akan luput dari ingatan semua. Saban tahun kita menyambut tarikh tersebut dengan pelbagai cara bagi menghargai jasa golongan yang pernah mendidik.
Untuk semua guru dan rakan-rakan, hayati sajak ini;

GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG,1979.


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,

melimpahkan hujan pada musim gersang,

menyegarkan benih ilmu,

berbuah hikmah;

ia renjis embun pada tanah bakat,

suara ihsan ketika manusia kalah,

sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,

ketika sejarah dalam bilik darjah,

senyum penyembuh bagi wabak sengsara,

ia - sungai rangsang sentiasa tenang,

menghantar bahtera ke segara dharma,

memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,

mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,

menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,

ia mengemudi biduk, melepaskannya, atas lambungan laut,

merangsangkan manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,

menghidupkan batin yang bersih di daerah dunia cemar kasih,

dan pada ketika tak tersangkakan,

walau diambilnya kemball semua buku,

sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,

penjunjung budi, manusia yang takwa,

obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

Ya Allah, ampunkan dosa guru-guruku baik guru yang masih hidup dan yang telah meninggalkan kita, Ampunkan dosanya yang lalu, kini dan akan datang. Tempatkan mereka di kalangan orang soleh. Amin.......

No comments:

Post a Comment