Monday, September 19, 2011

SEKALUNG BUDI SEJAMBAK KASIH - 1

Tuai padi antara nampak,
esok jangan layu-layuan,
intai kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan.
Pantun popular ini sering dikaitkan dengan perpisahan. Setiap yang mula mesti akan berakhir, kecuali yang Maha Esa. Ironinya akan berlaku kepada setiap insan terutama yang bergelar pendidik. Tempoh perkhidmatan seseorang akan tamat mengikut ketetapan yang dipilih.
Tanggal 24 Ogos 2011, SKSL telah melakar sejarah tersendiri kerana julung kalinya mengadakan majlis persaraan kepada kakitangannya. Majlis 'Sekalung Budi Sejambak Kasih' khas buat GPK Kurikulum ( Pn. Hjh. Sarifah Hamidah Raja Ahmad ) dirancang dan dianjurkan oleh Kelab Guru dan Kakitangan SKSL yang diterajui oleh En. Mohd Hazmil.
Gunung bintan lekuk di tengah,
Sayang penyengat kubunya tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi kusanjung kuingat juga.
Perarakan yang dirai memulakan acara pada pagi tersebut. Beliau diiringi oleh Pegawai Pelajaran PPD ( Tn. Mohd Mahmudi bin Bakri ), Guru Besar SKSL ( En. Sahrom ), YDP PIBG ( En. Kamarulzaman dan tetamu lain. Pertunjukan silat gayung fatani menyambut ketibaan yang dirai. Majlis diteruskan dengan ucapan beberapa individu dan diikuti oleh tayangan multimedia berkaitan dengan Pn. Hjh. Sarifah dari lahir hingga kini.
Bunga Kemboja putih berseri,
Putihnya melur di hujung dahan,
Atas khidmat dan jasa yang diberi,
Puji, syukur dan terima kasih diucapkan.
Persembahan murid juga turut mencuit hati cikgu Sarifah kerana lakonan murid berkaitan penglibatannya sepanjang berada di SKSL serta dikir barat mengenai diri beliau turut dipertontonkan. Murid-murid seterusnya menyerahkan kad ucapan gergasi dan hadiah kepada beliau sebelum beliau menerima 'sijil berhenti sekolah' dari PPDHL dan SKSL.
Semasa beliau menyampaikan ucapan terakhir yang penuh tragis dan menyebabkan bergenang air mata di setiap guru membuktikan bahawa beliau amat disayangi oleh semua guru.

Hendak menebang nibung berduri,
Dibuat pagar tepi perigi,
Pantun dikarang khas yang dirai,
Entah bila berjumpa lagi
Sesi fotografi bersama cikgu Sarifah turut diberi luang bagi memahat memori bersama beliau, seterusnya semua murid dan guru bersalaman dengan cikgu sarifah. Mengakhiri majlis tersebut, beliau menanam 'pokok kenangan' seterusnya beredar pulang..
Kalau menjemur papan panjang,
Baik disusun tegak berdiri,
Kalaulah ada umur panjang,
Insya Allah berjumpa lagi.