5 Mac 2013 - Sekolah Kebangsaan Sungai Lui (SKSL) telah menjadi tuan rumah MTQ Zon Tenggara untuk tahun ini. Zon Tenggara adalah nama baru yang menggantikan Zon Cheras. Majlis ini meliputi pertandingan Tilawah al-Quran, Hafazan, Bercerita Kisah dari al-Quran kategori lelaki dan perempuan. Manakala acara Nasyid dan Kompang Selawat melibatkan satu kategori sahaja. Tema MTQ pada kali ini ialah 'Al-Quran Penjana Wasatiyah Ummah'. Semua acara diadakan di sekitar SKSL.
Objektif utama MTQ adalah untuk membantu para peserta mengaplikasi proses pembelajaran serta mencungkil bakat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu ia juga dapat merapatkan ukhwah dan bertukar idea antara sekolah yang mengambil bahagian.
Pendaftaran peserta, petugas, hakim dan guru pengiring pada hari tersebut bermula jam 8.00 pagi, diikuti dengan taklimat ringkas hakim. Semua peserta telah diiringi pembantu yang dilantik ke bilik-bilik mengikut acara masing-masing. Sebanyak 14 buah sekolah telah menyertainya, iaitu SK Sungai Lui, SK Kuala Pomson, SK Lubok Kelubi, SK Dusun Tua, SK Sungai Tekali, SK Tun Abdul Aziz Majid, SK Sungai Serai, SK Dusun Nanding, SK Bukit Raya, SK Batu Sembilan, SK Taman Cuepacs, SK Taman Puteri, SJKC Batu Sembilan, SJKC Connaught 2. Hanya dua sekolah sahaja dalam Zon Tenggara tidak menghantar penyertaan iaitu SJKC Batu 14 dan SJKC Choon Hwa.
Jam 9.00 pagi, semua acara diadakan serentak . Seramai 34 orang hakim dari sekolah sekitar Bangi telah dilantik untuk menghakimi persembahan peserta Zon Tenggara kali ini. Hakim tersebut diketuai oleh Ustaz Mohd Khairul Kamal bin Kamaruddin (SK Bandar Baru Bangi) dan dibantu oleh Ustaz Mohd Saidjuddin bin Musa (SK Kajang Utama). MTQ ini juga dipantau sepenuhnya oleh Penyelia Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat iaitu Ustazah Roslinda binti Kamiss.
Pada jam 12.30 tengah hari, semua acara telah selesai dijalankan. Tetamu kehormat yang hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup ialah YB. Tuan Hj Ismail bin Sani, ADUN Dusun Tua. Para peserta dan pemenang telah diberikan piala pusingan, sijil penyertaan dan cenderamata oleh tetamu kehormat. Para pemenang akan mewakili Zon Tenggara ke peringkat daerah pada 19 Mac 2013 di SMK Bandar Baru Bangi. Majlis pada hari tersebut berjalan lancar dan selesai pada jam 1.30 petang.
tumpang gembira & bangga dgn kecemerlangan anak2 ini !
ReplyDelete