Monday, December 28, 2009

MESYUARAT STAF I/2010


28 Dis 2009, Mesyuarat persediaan kembali ke sekolah telah bermula pada jam 8.30 pagi hingga jam 1.30 petang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh GB yang baru bertukar iaitu En. Sahrom bin Shamsudin.

Selain itu semua GPK membentangkan perancangan 2010. Dalam masa yang sama diucapkan juga selamat datang dan menyertai warga SKSL kepada guru yang baru bertukar, antaranya:

1. En. Sahrom bin Shamsudin sebelum ini

bertugas sebagai pembantu penolong pengarah di Kementerian Pelajaran Malaysia.

2. En Mohd Aluwi bin Md Yassin dari Lahad Datu, Sabah.

3. Pn. Halimatun Saadiah bt. Johari dari SK. Bukit Raya, Hulu Langat, Selangor.

4. Pn. fazlezza bt Sarif - SK Sementa, Klang, selangor.

Warga SKSL mengalukan kedatangan semua dan 2010 akan membuka lembaran baru era pendidikan SKSL selaras alaf nano teknologi.



Saturday, December 26, 2009

HARI ASYURA

10 Muharam atau Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab, asyara yang bermaksud sepuluh.
Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Sejarah Asyura
Nabi Muhammad melakukan puasa Asyura sejak di Mekah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura. Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajipan kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-as Qalani, dalam pernyataannya mengenai Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajipan.

Antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram:
1. Allah menciptakan alam.
2. Allah menurunkan rahmat.
3. Allah menurunkan hujan.
4. Allah menjadikan 'Arashy
5. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
6. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
7. Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana
melanggar larangan Allah.
8. Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
9. Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan
bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
10. Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja
Namrud.
11. Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
12. Nabi Yusof a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh
tahun.
13. Nabi Yaakob a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari
tersebut.
14. Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
15. Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian
terbelahnya Laut Merah .
16. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.
17. Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40
hari 40 malam.
18. Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
19. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
20. Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
21. Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera
khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.

Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura:
- Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
- Memuliakan fakir miskin
- Menahan marah
- Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah ( terpesong aqidah
( tauhid dan akhlaknya)
- Menyapu / mengusap kepala anak yatim ( menghormati dan memuliakan mereka )
- Bersedekah
- Memelihara kehormatan diri
- Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
- Bercelak
- Membaca Surah Al-Ikhlas hingga akhir seribu kali
- Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat:
"Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura 4 rakaat kerana Allah Taala.
Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca surah al-ikhlas 11 kali.
- Menjamu orang berbuka puasa
- Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca
"Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala".

Tarikh ini telah mengimbau kenangan penulis kerana pada tarikh ini kita sibuk membuat bubur Asyura. Apa kata tahun ini kita buat kat sekolah dalam seminggu semasa buat persediaan tahun 2010. Berminat! Hubungi penulis dengan segera....

Friday, December 18, 2009

SALAM MAAL HIJRAH


"MEMANTAP UKHUWAH MEMPERKASA UMMAH"
1431 Tahun peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah masih segar dalam ingatan kita. Setiap tahun kita diperdengarkan dengan kisah tersebut.
Tersirat dalam lipatan sejarah tersebut, banyak pengajaran yang boleh diaplikasi dalam kehidupan harian dewasa ini.
Ironinya, Pengorbanan dan perjuangan menjadi tunjang kepada penghijrahan.
Pengorbanan perlu ada dalam melaksanakan sesuatu tugas terutamanya kepada para pendidik yang akan menjana modal insan pada masa depan.
Namun jika diteliti, sebelum sampai ke Madinah baginda telah membina Masjid yang menggambar pusat syiar Islam dalam semua bidang. Wajarlah kini kita mengangkatkan masjid sebagai tempat mengembangkan syiar Islam dan bukannya medan politik yang kotor.
Seterusnya Rasulullah telah mempersaudarakan Muhajjirin dan Ansar. Kesatuan dan perpaduan ini selaras dengan konsep 1Malaysia. Tanpa perpaduan negara akan porak peranda dan tidak aman lagi. Perpaduan adalah kekuatan kota, ia lebih kuat dari bom atom. Semoga perpaduan umat Islam dapat mempertahankan dan mengembangkan syiar Islam hingga ke akhir zaman.
Perpaduan ini mesti berlandaskan kepada konsep "amar makruf dan nahi munkar".
Umat Islam dalam keluarga, masyarakat, sekolah, jabatan, daerah, negeri dan seluruh dunia hendaklah berpegang kepada konsep "Hablum minallah dan Hablun minannas" barulah semua agenda dan perancangan akan berjaya. Marilah kita semua niatkan agar akan melakukan hijrah dari negatif kepada positif.
Tahniah juga kepada Dr. Yusuf al-Qardawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia dan Tan Sri Dr. Mohd Yusof bin Nor kerana dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1431.

Friday, December 4, 2009

S G M



Apa itu SGM? Standard Guru Malaysia telah dilancarkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia yang juga TPM Malaysia sebagai usaha berterusan dalam meletakkan sistem pendidikan seiring dengan piawaian global seterusnya melahirkan modal insan berminda kelas pertama.


Untuk merealisasikan SGM guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kemahiran P 'n' P yang tinggi. Bila dilihat dari aspek nilai tersebut, profesionalisme keguruan memiliki 3 domain utama, diri, profesionalisme dan sosial.

Diri menggambarkan nilai guru itu sendiri seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan daya tahan yang tinggi, cekap yang patut dikembangkan.

Profesion, nilai yang mesti diamalkan dengan telus seperti ketrampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif.

Domain sosial, berkaitan rapat dengan masyarakat dan agen penjana modal insan seperti kemasyarakatan, patriotisme dan kecintaan kepada alam sekitar.

Penguasaan dan kemahiran ilmu yang mantap boleh meningkatkan profesion keguruan agar dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Ini tergolong dalam aspek kedua.

Aspek ketiga, memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung kurikulum dan kokurikulum. Keberkesanan SGM ini dapat dinilai melalui pencapaian pelajar dan prestasi sekolah secara keseluruhannya yang meliputi semua bidang.

Kejayaan setiap program terletak di bahu semua guru. Ini semua saling berkait rapat dengan PIPP serta MBMMBI.

Pendek kata, bebanan kerjaya seorang guru bertambah lagi, dahlah kerja-kerja perkeranian sedia ada tak tertanggung di bahu guru. Siapa kata kerja guru ni senang? Buka mata pergi sekolah berhadapan dengan 1001 macam kerenah di sekolah, balik sekolah sambung dengan mesyuaratlah pulak. Petang nak melatih budak lagi. Malam sibuk membuat perancangan untuk esoknya. Cuti sekolah pun kena hadir sekolah jugak. Kepada pihak berkenaan tak bolehkah naikkan lagi imbuhan kepada golongan pendidik yang berada di sekolah. Taklah guru sibuk dengan MLM atau tuisyen atau menjual di pasar malam.....

Modal insan yang dipertanggungjawabkan di bahu guru.