Thursday, November 26, 2009

AIDILADHA



SELAMAT HARI RAYA

AIDIL ADHA


Lab bai kallahumma labbaik, labbaikala syari kalaka labbaik,

innal hamda, walnikmata laka walmulk, la syarika lak....



Sunday, November 22, 2009

CUTI SEKOLAH

Satu tradisi, hujung tahun murid-murid akan keriangan pabila menyambut cuti sekolah setelah 42 minggu mengadap buku. Cuti sekolah bermula 21 Nov 2009 hingga 03 Jan 2010. Namun pada musim cuti panjang ini pelbagai aktiviti telah dirancang oleh ibu bapa terutamanya seperti kem motivasi, kem smart solat, kelas komputer, percutian keluarga, kenduri kahwin, berkhatan dan macam-macam lagi aktiviti.
Cuti juga membuatkan kepala ibu bapa pening kerana kerenah anak-anak ketika di rumah. Ingat, pengawasan anak-anak penting kerana malang tidak berbau. Kepada anak-anak pula maklumkan kepada ibu bapa ke mana hendak pergi. Almaklumlah sekarang musim hujan, air sungai deras, banjir, operasi penculikan dsbnya. Bila sekolah nak buka lagi pening sebab nak kena persiapkan kelengkapan anak.
Kepada murid tahun 6 juga selamat menempuh alam sekolah menengah dan selamat datang kepada murid tahun 1 - 2010. Kepada ibu bapa yang ingin berurusan dengan sekolah bolehlah datang ke sekolah pada waktu pejabat.
Guru pula waktu cuti ada yang masih bertugas untuk menyiapkan perancangan tahun depan. Bagi guru yang diluluskan pertukaran diucapkan tahniah. Segala jasa kalian dikenang sepanjang masa. Selamat berkhidmat di tempat baru. Di mana kita bertugas sama sahaja. Yang penting kita pandai menyesuaikan diri, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau kena ngaplah..... Yang penting diri kita sendiri. Kalau benih yang baik jatuh ke laut akan jadi pulau. Perkara yang penting ialah kerja dengan ikhlas untuk mendapat rezeki yang halal.
Kepada guru yang dapat tukar, penulis memohon kemaafan sepanjang berkhidmat bersama, kalau ada hutang tuntutlah. Kepada guru yang isi borang tukar tapi tak dapat tukar, jangan lupa tahun depan isi lagi borang. Usaha tangga kejayaan.

Friday, November 20, 2009

H A K 09

Khamis, 19 Nov 2009 - Hari Anugerah Kecemerlangan (HAK) telah dijalankan sebagai aktiviti penutup tahunan. Majlis tersebut diadakan di dewan SKSL yang turut dihadiri ibu bapa, penjaga dan telah dirasmikan oleh YDP PIBG, En. Muhamad Jamal.
Majlis tersebut adalah untuk menghargai jasa murid-murid serta mengiktiraf pencapaian murid sepanjang tahun. Segala usaha penat lelah sepanjang tahun dinilai. Murid yang mencapai kejayaan dalam pelajaran juga diberi pengiktirafan. Kejayaan majlis tersebut adalah hasil kerjasama semua pihak. Terima kasih dan Tahniah kepada yang berjaya.
Tenaga kerja HAK, orang kuat SKSL yang juga 'members club' T......g


Thursday, November 19, 2009

5A OH 5A


Keputusan UPSR telah diumumkan. Itulah ironinya, heboh 1Malaysia bertanya berapa A dapat. Tahniah diucapkan kepada calon yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang 5A. Begitu juga tahniah kepada semua calon UPSR kerana berjaya menduduki peperiksaan tersebut. Dapat A atau gagal itu semua ujian dan dugaan Allah.
Seramai 63 calon UPSR dari SKSL telah menduduki UPSR awal September lalu. Hasilnya 2 orang dapat 5A iaitu Adik Nurhikamatul Aiman bt. Kamarulzaman dan Nur Shuhada Umiera bt Zamri. Tahniah diucapkan. Selain itu seramai 5 orang mendapat 4A dan 6 orang 3A. Peratusan keseluruhan juga meningkat.
Bahasa Malaysia 011 ( Pemahaman ) - 88.9%

Bahasa Malaysia 012 ( Penulisan ) - 87.3%

Bahasa Inggeris 014 - 45.3%

Mathematics 015 - 73.4%

Science 018 - 81.3%

Tn. Hj. Md Hosni mengumumkan keputusan UPSR dan YDP menyerahkan slip keputusan kepada calon UPSR


Peratus keseluruhan juga meningkat kepada 42.1%. Terima kasih diucapkan kepada semua guru SKSL dari Prasekolah hingga Guru Tahun 6 kerana semaian tahun 2004 telah dituai. Tidak lupa juga kepada ibu bapa dan penjaga yang memainkan peranan penting dalam mengeluarkan hasil tuaian yang bermutu.
Tidak lupa juga kepada calon yang kurang bernasib baik. Gagal sekali bukan bererti gagal buat selamanya. Jadikan kegagalan ini sebagai permulaan Transformasi. Anda juga bagus dan baik tapi nasib kurang menyebelahi anda. Ada hikmahnya, teruskan berusaha mencapai ilmu pengetahuan. Yang berjaya juga jangan tinggi diri. Ingatlah bila berjalan jangan sentiasa mendongak langit, sebaliknya lihatlah juga tanah. Ingat asal-usul kita. Akhir sekali jangan lupa solat dan sentiasa berdoa kepada Yang Maha Agung.

Pelajar yang mendapat 5A, 4A dan 3A bergambar bersama guru tahun 6 dan juga YDP PIBG, En. Muhamad Jamal.

GRADUASI PRA

TAHNIAH KEPADA SEMUA GURU, TERUTAMANYA WARGA PRASEKOLAH SKSL KERANA BERJAYA MENGADAKAN HARI GRADUASI PRASEKOLAH 2009. TAHNIAH JUGA KEPADA PARA GRADUASI DAN

SELAMAT DATANG KE TAHUN SATU 2010.

TIMANG-TIMANG TAKRAW


17 November 2009 ( Selasa ), bertempat di Dewan SJKC Kampung Baru Semenyih telah berlangsungnya Klinik Pembangunan Karnival Tunas Mini Olimpik (KATMO) Timang-Timang Takraw.

Dalam Program tersebut beberapa kemahiran asas dalam permainan Sepak Takraw diajar dan diberi penekanan kepada peserta. Peserta yang terlibat ialah murid Tahun 1-3 dari seluruh daerah Hulu Langat. Kemahiran tersebut ialah menimang bola, melambung, sepak mula, menerima, menanduk dan lain-lain kemahiran.

Pada sebelah petang diadakan pula permainan dan perlawanan dalam kumpulan. Pemenang permainan tersebut menerima kalungan hadiah yang telah disampaikan oleh GPK Kokurikulum SK. Sungai Lui iaitu Tn Hj Nazeri bin Kadir.

Tuesday, November 10, 2009

KEM MEMBACA 1MALAYSIA

Membaca amalan mulia. Membaca jambatan ilmu. Kita pernah didedahkan dengan kata-kata tersebut. Bagi menyahut seruan kerajaan yang senantiasa menggalakkan masyarakat suka membaca satu program berkaitan diadakan. Tujuannya ialah untuk memupuk cintakan ilmu melalui pembacaan diterapkan kepada murid sekolah bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pn. Selamah memukul 'Dram' sempena perasmian Kem Membaca 1Malaysia

Kem ini dikendalikan oleh penyelaras PSS iaitu Pn. Aziyana bt. Ayop dengan bantuan guru SKSL. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang kem tersebut. Kem tersebut diadakan pada 26.10.2009 hingga 05 November 2009. Antara aktivitinya ialah 10 minit bersama buku, projek kitar semula, bercerita dan pertandingan mewarna, 9 minutes reading, sketsa lagu dan 'info hunt'.

Program ini juga salah satu projek NILAM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis perasmian kem tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SKSL iaitu Pn. Selamah bt. Packeer Mohamed. Majlis penutup pula diadakan pada 05.11.2009 dan hadiah-hadiah kepada pemenang yang mengambil bahagian telah disampaikan oleh GPK HEM iaitu Tn. Hj. Md. Hosni bin Awang.

Akhir kalam, pelbagai program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah mahupun kementerian adalah untuk keselesaan dan kepelbagaian proses pengajaran dan pembelajaran yang bukannya berfokuskan kepada dalam kelas sahaja. Seterusnya aktiviti ini menyokong kemenjadian murid dan membina modal insan dalam pelaksanaan PIPP.