Monday, October 26, 2009

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM

SKSL, 23.10.2009 - 24.10.2009, Unit Kokurikulum sekolah telah mengadakan aktiviti perkhemahan beruniform bertempat di sekolah. Perkhemahan ini bermula pada petang Jumaat. Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang perkhemahan ini. Kem komanden kali ini ialah En. Syukri bin Milieng ( Guru Praktikum IPTKL ) dan dibantu oleh Pn. Siti Masayu bt. Sh. Md Arif sebagai timb. kem kom. Pn. Noraliza menguruskan pendaftaran peserta perkhemahan.
Aktiviti bermula dengan pecah bendungan ( ice breaking ). Mengetuai aktiviti ialah En. Ahmad Yusri b. Mohamad ( Guru Praktikum IPTKL ). Sebelah malam selepas solat maghrib diadakan pula kuliah dan solat Isyak berjemaaah. Pn. Faridah Jaafar ( AJK PIBG ) dijemput khas untuk memberi bimbingan dalam aktiviti Kraftangan dari kertas surat khabar. Selepas itu aktiviti biasa pada waktu malam ialah berjalan malam.

Sepanjang aktiviti dijalankan setiap kumpulan diberi barang amanah iaitu telur ayam sebiji setiap kumpulan. Yang menariknya pelbagai cara mereka menyimpan telur ayam tersebut agar tidak pecah. Salah satu kumpulan telah menyimpan telur tersebut dalam tupperware. (Ingatkan tak pecah lah tu... ) Sebaliknya telur tersebut telah bertukar menjadi batu.

AJK Makanan menyiapkan untuk peserta.
Hari kedua diteruskan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh Pn. Noraliza. Sejurus itu diadakan pula aktiviti berpangkalan antaranya kawad kaki, ikatan dan simpulan, bantu mula dan ikhtiar hidup. Sebelah petang diadakan sukaneka antara kumpulan dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh YDP PIBG iaitu En. Muhamad Jamal bin Hj. Sharif. Beliau juga telah menyampaikan sijil dan hadiah kepada peserta perkhemahan. Siap sedia sebelum solat

Akhirnya perkhemahan ini meninggalkan kenangan terindah kepada setiap individu terutamanya murid Tahun 6 dan juga kepada guru praktikum. Tahniah kepada setiausaha perkhemahan En. Zalinor Zainuddin serta guru-guru SKSL yang terlibat secara langsung dan yang tak terlibat tu sendiri mahu ingatlah.

En. Zalinor ... buat ape dengan budak-budak tu...

Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Fazly

Aktiviti Kawad dikelolai oleh En. Ahmad Yusri

Penantian satu penyiksaan....

Kena denda lagi

Begini caranya membuat bakul dari surat khabar lama....

Ikatan dan simpulan oleh En. Mustari bin Ahmad

Bantu Mula oleh En. Hazmil bin Abu Hassan

Cara-cara mendirikan khemah oleh En. Mazlan bin Shaari

Sukaneka ......

Sekitar MAjlis penutup yang turut dihadiri oleh YDP PIBG En. Muhamad Jamal b. Sharif.

Orang kuat : Tuan Kem Kom dan Puan Timb Kem Kom.

Wednesday, October 21, 2009

BANJIR LAGI

20 Oktober 2009 (Selasa), hujan yang turun dengan lebatnya sejak jam 6.30 petang hingga ke malam lbh kurang jam 9.30 malam telah menyebabkan air sungai melimpah seterusnya banjir. Banjir mula melanda dari kawasan perkelahan Sg. Chongkak dan ke hilir. Begitu juga dengan rumah warga kerja SKSL ( Kak Lela ) di Kg Tanjung Kg Jawa turut terkena bencana alam ini. Air sungai telah melimpah keluar dengan pantas sekali.

Penulis juga sempat mengharungi banjir beberapa tempat banjir terutamanya di Batu 18. Kali ini banjir yang dipenuhi lumpur telah menyebabkan beberapa rumah penduduk yang berhampiran sungai menjadi mangsa. Pada pendapat penulis banjir lumpur ini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan saluran palung air dari Pahang ke Selangor berhampiran Sg. Chongkak. Keadaan sungai yang tidak cukup lebar juga menyebabkan air limpahan ini keluar dari acuannya. Tidak dinafikan juga perbuatan manusia yang kurang menghargai sungai.

Ingatan kepada semua, ini adalah sebahagian dari dugaan dan ujian Allah kepada hambanya. Jika dibandingkan dengan negara luar seperti Filiphina yang diancam ribut Katrina dan Parma baru-baru ini, kita masih bernasib baik. Oleh itu ingatlah ujian dan dugaan Allah akan datang pada bila-bila masa sahaja. Sediakan bekalan amalan secukupnya sebelum ujian yang lebih besar lagi (kiamat).

*Maaf gambar banjir tidak dapat disertakan. Tengoklah surat khabar.

Saturday, October 10, 2009

MAJLIS KHATAM QURAN

Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan hidup yang lengkap untuk manusia dalam semua aspek. Selain menjadi pedoman untuk kebahagiaan hidup di akhirat, al-Quran juga mengandungi pelbagai khazanah ilmu yang diperlukan oleh manusia untuk memakmurkan alam ini. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud sesiapa yang mahukan ilmu, maka dia hendaklah mengkaji al-Quran.
SKSL telah mengadakan majlis khatam quran dan penutup bulan panitia Pendidikan Islam. Kedua-dua program tersebut dijalankan pada bulan Ramadhan yang lalu dan Jumaat ( 09.10.09) adalah kemuncaknya. Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Hakim, bacaan al-Quran oleh En. Ahmad Yusri ( Qari IP Teknik KL ) dan ucapan Pn. Selamah ( GB SKSL ). Majlis khatam dibimbingi oleh KP Pendidikan Islam ( Pn. Che Gayah) dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada peserta khatam juga penyampaian hadiah kepada pemenang aktiviti bulan Panitia.
Seramai 180 orang murid termasuk guru telah menyertai tadarus al-quran pada bulan Ramadhan tersebut. Mereka dipecahkan kepada kumpulan kecil serta mesti membaca surah-surah yang ditetapkan dengan bimbingan guru yang ditetapkan.
Sepanjang bulan panitia juga dilaksanakan pada bulan al-mubarak itu pelbagai aktiviti dijalankan antaranya, ejaan jawi, tulisan khat, mewarna, bacaan bingkisan ramadhan setiap pagi, tazkirah Jumaat, buku skrap, menghafaz doa harian, amalan nilai-nilai murni dan lain-lain lagi.
Pihak Panitia Pendidikan Islam merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program sebegini. Siapalah kami tanpa anda semua. Bulat air kerana pembentung, sepakat manusia kerana maufakat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama cicah. Semoga keakraban dan sepasukan ini diteruskan dalam semua program. Segala kekurangan dan kelemahan pihak panitia Pendidikan Islam ingin memohon maaf dan akan perbaiki lagi pada tahun depan. Insya Allah. Wallahu a'lam...

Friday, October 9, 2009

PROJEK TOPI KELEDAR

Jabatan Keselamatan Jalan Raya ( JKJR ) telah menjalankan satu kempen pemakaian topi keledar kanak-kanak bagi pelajar sekolah rendah yang membonceng motosikal dan berbasikal ke sekolah di Hulu Langat bertempat di SK. Sungai Lui pada 08.10.09.
Projek ini ditaja oleh Exxon Mobil dan pihak RSMC. Sekolah yang terlibat dalam program ini ialah SK. Sungai Lui, SK. Dusun Tua, SK. Lubok Kelubi dan SK. Tun Abdul Aziz Majid.
Majlis ini dirasmikan oleh En. Shahipul bin Sulaiman( Pen. Pengarah JKJR). Hadir sama dalam majlis tersebut ialah En. Zulkifli dari PPDHL, Pn. Zuraidah ( GB SKLK ) dan guru pengiring dari sekolah yang terlibat.
Berkonsepkan 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' kempen keselamatan jalan raya ini tidak lain hanya untuk meminimumkan kemalangan bersesuaian dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 dan wawasan Sifar Kematian sebagai dasar jangka panjang.
Pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah terutamanya di kawasan luar bandar berhubung kepentingan memakai topi keledar amat perlu. Dalam kunjungan ini beberapa tips dan panduan telah dijelaskan kepada murid yang terlibat.
Pihak ExxonMobil juga bermurah hati telah menyumbangkan 300 topi keledar kepada kanak-kanak yang terlibat. Peserta juga diberi makan percuma satu set ayam goreng (KFC) serta minuman percuma MILO.
Terima kasih juga kepada guru SKSL yang bertungkus lumus menyediakan tempat serta bantuan semasa program ini berjalan. Komitmen anda semua amat dihargai.


Akhir sekali penulis berpesan Fikir dahulu sebelum buat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Ingatlah Orang Tersayang. Pakailah topi keledar. "Klik". Anda Mampu Mengubahnya. Pandu, Tunggang dan Jalan dengan Selamat. Berhati-hati di jalan raya. Malang tidak berbau. Allah Melihat apa yang anda lakukan.

Thursday, October 8, 2009

HARI KANAK-KANAK

Saban tahun Hari Kanak-Kanak disambut untuk meraikan kanak-kanak di mana jua berada terutamanya di sekolah. Perayaan ini disambut di seantero dunia bagi menghargai dan mengiktiraf penglibatan kanak-kanak.
Tidak ketinggalan SKSL juga meraikan hari kanak-kanak peringkat sekolah pada 08.10.09 ( Khamis ). Majlis sambutan ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 9.30 pagi. Aktiviti sambutan terpaksa dikurangkan kerana pada hari yang sama diadakan kempen keselamatan jalan raya.
Pengacara majlis (En. Zalinor & Pn. Hashimah) mengendalikan majlis yang dimulakan dengan bacaan doa (Ustaz Fazly) dan ucapan perasmian oleh Tn. Hj. Md. Hosni (GPK HEM) serta kemuncak acara ialah penyampaian hadiah sebagai pengiktirafan kepada murid.
Antara kategori hadiah ialah kedatangan penuh mengikut kelas, murid prihatin setiap kelas, ketrampilan terpuji, ulat buku, PAFA terbaik, Murid Harapan, Murid Harapan (Murid Asli), Tokoh Gemilang (sukan dan Akademik) serta kelas terbersih sepanjang tahun.
Selepas rehat murid yang tidak terlibat dengan kempen keselamatan jalan raya disajikan dengan tayangan video dan semua murid diberikan ayam goreng ( KFC ).
Harapan penulis agar kita semua menyayangi semua kanak-kanak dengan memberikan hak sepatutnya kepada mereka. kita patut bersyukur kerana kita mampu menyambut perayaan sebegini berbanding dengan kanak-kanak di negara yang ditimpa musibah. Ada di antara mereka tidak mampu makan umpama mayat hidup, makan pakai apa yang ada. Dan lebih menyedihkan lagi mereka tidak tahu siapa ibu bapa mereka, ada yang didera, hidup melarat dan sebagainya.
Ya Allah, selamatkan kanak-kanak di dunia ini, jauhi mereka dari kesengsaraan dan kemelaratan hidup. Mereka ini merupakan pewaris dunia. Setiap anak yang dilahirkan adalah suci seperti kain putih, ibu bapa lah yang akan mencorakkannya.