Thursday, November 18, 2010

MAJLIS MAKAN MALAM AMAL

Hujan pada malam 6 Nov 2010 tidak menghalang aktiviti diteruskan. Majlis makan malam amal anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Dusun Tua dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Dusun Tua telah diadakan di SKSL. Tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah mengumpul dana komuniti untuk pendidikan DUN serta membantu tabungan PIBG SKSL.
Majlis pada malam tersebut telah dirasmikan oleh penaung program mengumpul dana komuniti iaitu YB Ismail bin Sani yang juga ADUN Dusun Tua. Para tetamu telah disajikan dengan persembahan tarian rangguk juga palancaran Kelab Bekas Pelajar SKSL atau Alumni SKSL.
Sebanyak 40 meja telah ditaja oleh penaja-penaja yang berada di sekitar Sungai Lui. Terima kasih diucapkan kepada penaja atau pembeli meja. Jasa baik tuan-tuan dalam membantu PIBG mencari dana untuk anak-anak SKSL. Juga terima kasih kepada Tok Yan & Friends kerana telah membeli meja emas. Semoga segala sumbangan dan usaha murni yang diberi dan dilaksanakan akan diberi petunjuk serta keberkatan dariNya, Insya Allah.
Dalam masa berlangsungnya majlis tersebut, juga diadakan tayangan 'wayang pacak' bagi pengunjung Karnival SKSL. Penonton disajikan dengan beberapa tayangan untuk mengimbau kembali waktu wayang penerangan dulu. Suasana di padang sekolah amat meriah sekali dengan jualan aneka gerai bak satu 'pesta' di SKSL. Majlis pada malam itu berakhir pada 11.30 malam. Keseronokan dan kepuasan jelas terpancar diraut wajah semua.
Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut dengan 'menghidupkan' Karnival SKSL 2010.

Monday, November 15, 2010

SUKAN TAHUNAN KE-32

Temasya Sukan Tahunan ke-32 tahun 2010 berlangsung serentak dengan Karnival SK Sungai Lui. Pada 06 November baru-baru ini telah berlangsungnya acara tahunan tersebut. Perbarisan kontijen setiap rumah sukan memulakan acara pada pagi yang bening itu. Setiap kontijen rumah sukan diketuai oleh pembawa bendera rumah serta maskot rumah sukan masing-masing serta membuat lintas hormat di hadapan tetamu utama pada hari tersebut, En. Muhamad Jamal bin Sharif selaku YDP PIBG dan diikuti ucapan perasmian.
Setelah ikrar sukan dilafazkan oleh ketua murid ( M. Amirul Amin ), demonstrasi teakwando mengisi slot persembahan. Pada hari tersebut sebanyak 49 acara dipertandingan melibatkan murid pra sekolah hingga tahun enam. Sebelum hari kemuncak sukan ini telah banyak acara dijalankan seperti sukan permainan ( bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola baling dan tarik tali ), acara padang ( lompat tinggi, lontar peluru dan lompat jauh ) begitu juga dengan acara saringan peringkat awal. Murid dibahgikan kepada empat rumah utama iaitu Laksamana( Biru ), Bendahara ( Merah ), Temenggung ( Hijau ) dan Syahbandar ( Kuning ).
Olahragawan SKSL pada tahun ini disandang oleh Amar Sharizan bin Shari ( Laksamana ) dan Nur Ain Najihah binti Adnan ( Temenggung ) olahragawati SKSL. Pada hari tersebut rumah Laksamana telah menjuarai acara Perbarisan dan Hiasan Rumah serta beberapa acara berpasukan lain. Namun johan keseluruhannya disandang oleh rumah Bendahara ( Merah ).

Thursday, November 11, 2010

KARNIVAL SK SUNGAI LUI 2010

Perancangan bersama menjelma kejayaan semua. Tiada dalam perancangan tahunan namun idea cetusan guru besar menyentak semua guru kerana program yang dicetuskan itu merupakan satu acara yang gemilang melibatkan beberapa aktiviti dalam satu program. Namun semua itu disahut oleh semua guru dengan tabah dan jayanya. Sukan tahunan sekolah, Majlis makan malam dan sukan rakyat disatu dalam Karnival SK Sungai Lui 2010.

06 November 2010, Sukan Tahunan SKSL kali ke-32 telah dijalankan dengan suasana meriah sekali dengan kerjasama dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Boleh baca laporan dalam blog Sukan Tahunan ke-32.

Pada sebelah malam pula diadakan Majlis Makan Malam Amal anjuran Kelab Sukan dan Komuniti DUN Dusun Tua. Ikuti blog Majlis Makan Malam Amal.

Pada 07 November 2010 pula telah diadakan acara Sukan Rakyat yang melibatkan masyarakat setempat dan pelbagai acara telah dipertandingkan. Klik pada Sukan Rakyat dalam blog sekolah Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama semua pihak antara guru, kakitangan sekolah, PIBG, ibu bapa dan masyarakat setempat. Inilah ketepatan perumpaan bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana maufakat, hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bersatu teguh bercerai roboh, kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.Terima kasih pada semua daripada penulis.....