Sunday, October 24, 2010

CAMPING

Salah satu aktiviti pasukan unit berniform adalah perkhemahan. Tujuan utama perkhemahan diadakan untuk mengetahui tahap aplikasi seseorang murid tentang apa yang dipelajari secara teori dan dipraktikkan semasa perkhemahan. Ia juga dapat melatih seseorang itu berdisplin, daya tahan diri, kerjasama dan kreativiti murid.
Sehubungan itu pada 22-24 Oktober 2010, satu perkhemahan unit beruniform SKSL telah diadakan di Asli Advanture Base Camp, Lopoh, Pomson. Seramai 40 orang murid dari pelbagai unit uniform seperti Pengakap, PBSM, TKRS, Puteri Islam dan Tunas Puteri telah terlibat dengan perkhemahan ini. Aktiviti 3hari 2 malam ini dikelolakan oleh penyelaras unit uniform SKSL, En. Zalinor bin Zainuddin juga guru pengakap.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang tempoh tersebut. Aktiviti yang dijalankan diawasi oleh En. AidiYusof ( Kem Komanden ) dengan bantuan beberapa fasilitator. Antara aktiviti: berjalan malam, rentas hutan, ikhtiar hidup, harta karun, pertolongan cemas, aktiviti di air, kawad kaki, simpulan/ikatan dan kebudayaan. Pada malam terakhir juga diadakan 'BBQ' yang ditaja sepenuhnya oleh GPK Kokurikulum iaitu Tn. Hj. Nazeri.
Kegembiraan dan kepuasan jelas terpancar di wajah setiap peserta walaupun melalui tempoh 3 hari yang 'memeritkan' dengan jerit tengking fasilitator. Terima kasih juga kepada guru yang terlibat menjayakan perkhemahan ini hingga jayanya. Juga tidak lupa kepada sukarelawan yang membantu dalam semua aspek.

Thursday, October 21, 2010

BIRU PERKASA

Sukan permainan antara rumah sukan telahpun selesai dijalankan dengan jayanya. Tahniah kepada rumah sukan yang berjaya. Nampaknya rumah biru banyak menjuarai acara yang dipertandingkan iaitu bola jaring, bola baling dan tarik tali. Dalam acara bola jaring pasukan rumah biru menafikan kehebatan pasukan lain iaitu hijau ( naib juara ), merah ( ketiga ) dan kuning. Begitu juga dengan acara bola baling.
Untuk acara tarik tali campuran rumah biru memang hebat dengan menewaskan rumah merah (kedua), hijau dan kuning yang masing-masing di tempat ketiga dan keempat. Dalam acara bola sepak pula johan telah disandang oleh rumah Hijau, merah ( kedua ), biru dan kuning. Rumah kuning pula telah menebus kekecewaan dalam empat acara tersebut dengan menjuarai acara sepak takraw.
Tahniah kepada semua pengurus pasukan yang membimbing serta melatih pasukan masing-masing. Penghargaan juga kepada En. Sahrom (GB) yang telah mengadili acara tarik tali. Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru yang menjayakannya.

Sunday, October 17, 2010

JAMUAN RAYA

08 OKT bersamaan 29 Syawal merupakan syawal terakhir tahun ini. Sana sini sibuk mengadakan rumah terbuka atau 'open house'. Tidak ketinggalan SKSL juga mengambil kesempatan mengadakan jamuan raya. Majlis tersebut disekalikan dengan sambutan hari kanak-kanak.
Jamuan raya diadakan secara 'Pot luck' iaitu semua guru mengambil bahagian menyediakan juadah kepada semua murid. Antara juadahnya ialah mee hun, mee, lemang, laksa, dadih, agar-agar, nasi dagang, rendang, nasi himpit kuah kacang, tapai serta aneka kuih raya yang dibawa oleh murid-murid.Sebelum itu diadakan sambutan hari kanak-kanak, acaranya ialah persembahan dari murid-murid, penyampaian hadiah kepada murid yang menerima anugerah tertentu seperti kedatangan penuh, prihatin, anugerah murid asli, anugerah akademik, kokurikulum dan anugerah khas.
Tetamu kehormat pada majlis tersebut iaitu YDP PIBG, En. Muhamad Jamal sudi menyampaikan hadiah kepada murid yang terpilih. Tahniah kepada murid yang mendapat anugerah pada hari tersebut dan juga diucapkan tahniah kepada semua guru yang menyediakan juadah raya serta menjayakan program ini.


Saturday, October 16, 2010

HARI KECERGASAN

24 Sept, Jumaat, Otak cerdas datangnya dari badan yang cergas. Benarkah unggkapan ini? Itulah hakikatnya. Justeru itu Pn. Siti Masayu selaku Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan SKSL telah merangka satu aktiviti ke arah itu. Hasilnya semua guru dan murid SKSL melakukan aktiviti senaman yang dipimpin oleh kumpulan Wanita Cergas Sungai Lui. Kumpulan ini aktif pada setiap pagi, anda boleh lihat di gelanggang Futsal Kampung Sungai Lui melakukan riadah. Setelah senaman dan tarian poco-poco diadakan pula ujian SEGAK bagi murid tahap dua. Anda lihatlah sendiri gambar di bawah. Anda lihat, anda tahu mereka cergas atau sebaliknya......

Sunday, October 10, 2010

HIJAU JOHAN BOLA SEPAK

07 Okt 2010 ( Khamis ), Acara sukan permainan, bola sepak dan bola jaring telah menjadi acara pembuka bagi karnival sukan tahunan kali ke-32. Setiap rumah mengambil bahagian dalam acara-acara yang dipertandingkan.
Bagi bola sepak diadakan 7 sebelah dan 3 simpanan begitu juga dengan bola jaring 7 pemain dan 3 simpanan. Perlawanan pertama bola sepak melibatkan pasukan Hijau menentang Biru, begitu juga dengan bola jaring. Perlawanan bola sepak antara rumah telah dikendalikan oleh penyelarasnya iaitu En. Abd Malik bin Hj Nayan dan Pn Nor Aishah bt Sulaiman. Mereka adalah jurulatih sekolah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam permainan tersebut. Tahniah diucapkan kepada penyelaras permainan bola sepak dan bola jaring yang berjaya mengendalikan pertandingan hingga ke tamat.
Bola sepak telah diadili oleh En. Abd Malik, En. Mohd Asmizul dan En. AidilYusof. Pn. Nor Aishah, Pn. Noraliza, Pn. Norazua dan Pn. Siti Nurhafezah telah mengadili pertandingan bola jaring. Pasukan rumah Hijau yang dibimbing oleh En. Mohd Asmizul telah menjuarai acara bola sepak dan rumah Biru bimbingan Pn. Nor Aishah menjuarai bola jaring. Perlawanan yang dijalankan secara liga kumpulan itu berakhir pada jam 11.00 pagi. Pasukan yang mendapat Johan mendapat 30 mata, 20 mata Naib Johan dan 10 mata untuk tempat ketiga. Dalam pertandingan ini juga beberapa bakat baru telah dikenalpasti dan akan diserapkan dalam pasukan sekolah.
Kepada pasukan lain usah putus asa kerana banyak lagi acara yang dipertandingkan sehingga kemuncaknya pada 06 November 2010.